Kanak-kanak lelaki maut dilanggar kereta - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lelaki maut dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 27 Nov. – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berhampiran Sekolah Kebangsaan Che Latif, Kuala Besar, di sini petang semalam.

ABDUL RAHIM DAUD
ABDUL RAHIM

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang, Wan Adi Airiel Wan Azman yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Badang, di sini ketika sedang dirawat.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, semasa kejadian pemandu kereta jenis Perodua Myvi berusia 23 tahun itu datang dari arah Kuala Besar menghala ke Kota Bharu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian wanita itu mendakwa melihat kanak-kanak itu menunggang basikal di arah laluannya namun mangsa secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Dia tidak sempat mengelak atau menekan brek lalu lalu melanggar mangsa. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini hari ini.

Abdul Rahim dalam pada itu berkata, mangsa dibawa orang awam ke Klinik Kesihatan Badang namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di situ.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya menasihatkan pengguna jalan raya atau pemandu kenderaan supaya memperlahankan kenderaan jika ternampak kanak-kanak berbasikal kerana tindakan mereka ini sukar untuk dijangka. Kita orang dewasa yang perlu lebih berwaspada,” katanya

Terdahulu, Majlis Sambutan Maulidur Rasul tersebut dimeriahkan dengan perarakan 450 peserta terdiri daripada anggota dan pegawai di bawah IPD Kota Bharu, penduduk setempat, ketua-ketua agensi, pelajar tahfiz dan penceramah Masjid As Salam, Pengkalan Chepa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN