KUANTAN 10 Nov. – Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) yakin tiada apa yang perlu dirisaukan dengan pendengaran awam mengenai penilaian operasi Lynas Advanced Materials Plant esok kerana selama ini syarikat itu beroperasi mengikut semua peraturan dan undang-undang ditetapkan pihak berkuasa.
Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia dan Komunitinya, Mimi Afzan Afza berkata, syarikat itu percaya dengan apa yang diperkatakan kerajaan bahawa kajian semula terhadap operasi berkenaan dibuat berlandaskan konsep terbuka, telus dan adil.
Malah katanya, kajian semula itu juga akan dibuat berlandaskan data-data saintifik dan realiti.
“Keyakinan kami kerana kami menjalankan operasi dengan mengikut semua peraturan dan undang-undang,” katanya ketika ditemui pada program Santai Lynas Bersama Komuniti di Sekolah Kebangsaan Balok di sini, hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penubuhan jawatankuasa eksekutif bagi meneliti operasi pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, di sini.
Esok, pendengaran awam mengenai penilaian operasi Lynas Advanced Materials Plant itu akan diadakan di Dewan Cendana, Hotel Sri Manja Boutique bermula pada pukul 9 pagi.
Dalam pada itu, Mimi Afzan berkata, penganjuran program Santai Lynas Bersama Komuniti tersebut tidak mempunyai kaitan dengan pendengaran awam berkenaan.
Katanya, Lynas sudah merancang program yang besar itu sejak lebih sebulan lalu manakala makluman mengenai sesi pendengaran awam tersebut diterima pihaknya kira-kira dua minggu lepas.
“Ini adalah program yang besar yang tidak boleh dibuat dalam masa dua minggu. Ia tidak langsung berkaitan dengan yang apa akan dijalankan esok (pendengaran awam), kita sudah rancang lama,” katanya.
Berhubung program berkenaan, beliau berkata, ia berkonsepkan santai dengan menghimpunkan penduduk di sekitar Balok bagi melaksanakan pelbagai aktiviti yang disediakan seperti pameran Lynas, pameran kokurikulum murid dan sumbangan barangan baharu serta terpakai.










