Kadir Jasin pula sekolahkan dua menteri - Utusan Malaysia

Kadir Jasin pula sekolahkan dua menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin menasihati dua menteri Pakatan Harapan (PH) agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan mendengar nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tokoh Wartawan Negara itu dalam tulisan di blognya menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai individu yang dimaksudkan.

Beliau berkata, tindak-tanduk Waytha Moorthy berhubung rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dilihat tidak membantu mengukuhkan perpaduan nasional seperti mana portfolio yang dipegang.

“Perdana Menteri sudah menasihati beliau. Tapi Perdana Menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar. Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah ‘gung-ho’ dan selesa sangat dengan kedudukan beliau.

“Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr. Mahathir,” katanya dalam tulisan di blognya semalam.

Dalam pada itu, A. Kadir turut meminta Maszlee agar lebih memahami teguran Dr. Mahathir berhubung isu ‘sekolahagamakan’ sekolah kebangsaan (SK).

Ujarnya, sebagai seorang ahli akademik, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sepatutnya lebih peka dengan situasi semasa yang mana ibu bapa bukan Melayu tidak lagi mahu menghantar anak mereka ke SK kerana melihat ia sama sahaja seperti sekolah agama.

“Kembalikanlah SK, rendah dan menengah kepada tujuan asalnya, iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.

“Di pihak lain pula makin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN