Kadar indeks jenayah ragut, samun di Kuala Lumpur menurun - Utusan Malaysia

Kadar indeks jenayah ragut, samun di Kuala Lumpur menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kadar indeks jenayah samun dan ragut di sekitar ibu kota menunjukkan penurunan sebanyak 65 peratus dari 46 kes pada tahun lalu kepada 16 kes bagi tahun ini.

Kadar indeks jenayah tersebut ialah bagi tempoh dua minggu iaitu dari 14 November hingga 26 November yang lalu bagi tempoh yang sama untuk tahun 2017.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, penurunan kadar tersebut ialah hasil daripada Operasi Rentap Khas (Ops Rentap Khas) selama tempoh dua minggu dan turut berjaya menahan 18 orang termasuk yang dikehendaki.

“Keseluruhan penjenayah yang ditahan adalah seramai 28 orang di mana 18 daripada mereka merupakan suspek yang dikehendaki dan selebihnya ialah mereka yang tiada rekod jenayah tersebut.

“Kesemua yang ditahan ialah seramai 27 orang lelaki dan seorang perempuan berumur di antara 13 hingga 50 tahun yang akan disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 395 dalam Kanun Keseksaan yang sama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di pusat beli-belah Suria KLCC di Jalan Ampang di sini hari ini.

Mazlan memberitahu, Ops Rentap Khas tersebut tertumpu di beberapa lokasi panas sekitar ibu kota seperti di Dang Wangi, Bukit Bintang juga Raja Chulan.

Tambahnya, seramai 120 orang anggota dan pegawai yang ditugaskan untuk Ops Rentap Khas.

“Kesemua anggota ini ditempatkan di pelbagai lokasi khususnya di tempat yang menjadi tumpuan penjenayah seperti di pusat beli-belah juga hotel.

“Dilihat kepada kejayaan selama dua minggu ops ini dijalankan dalam mengurangkan kadar jenayah ragut dan samun, kami akan meneruskan lagi ops ini untuk tempoh dua minggu lagi,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN