JAKARTA 28 Nov. – Juruterbang pesawat Lion Air Indonesia JT 610 bergelut mengawal pesawat berikutan sensor udara rosak dan segera menghantar mesej kepada pengawal trafik udara sebelum insiden mengorbankan 189 penumpang, menurut laporan awal, hari ini.
Lapor agensi Xinhua, penyelidik Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSC) meneliti punca kemalangan Boeing 737 Max-8 yang baharu selain mencadangkan Lion Air supaya meningkatkan keselamatannya.
Menurut penyiasat NTSC, Nurcahyato Utomo, laporan itu mendapati juruterbang itu memberitahu pengawal trafik udara, pesawat itu menghadapi masalah kawalan penerbangan sejurus sebelum terbang ke perairan barat Indonesia pada 29 Oktober lalu.
“Kapten menghantar mesej segera kepada pengawal trafik udara bahawa mereka berada dalam keadaan ‘kecemasan’,” katanya.
“Mesej itu dihantar selepas pemandu juruterbang memaklumkan sukar untuk mengikuti arahan’ nose down’ dari skrin di kokpit,” katanya.-BERNAMA










