PULAU PINANG 16 Nov. – Sebanyak RM517, 510 bayaran kompaun berjaya dikutip oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri dalam tempoh hanya tujuh jam, hari ini.
Bayaran itu dibuat menerusi kaunter semakan serta bayaran saman sempena Program Kayuhan Solidariti Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Pulau Pinang 2018 anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Queensbay Mall, di sini.
Ketua JSPT, Superintenden Wan Shaharuddin Wan Omar berkata, dalam tempoh yang sama juga iaitu sejak kaunter dibuka antara pukul 9 pagi hingga 4 petang, sebanyak 4,667 saman telah dibayar.
“Antara saman yang banyak dibayar termasuk kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar serta mengubah suai struktur kenderaan.
“Kesalahan lain ialah berkaitan parkir serta memandu laju,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Wan Shaharuddin memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 10 kaunter dibuka dengan empat daripadanya adalah kaunter semak dan pinda, empat kaunter bayaran serta masing-masing satu kaunter semak dan pinda serta bayaran khas untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Seramai tiga pegawai, 11 anggota dan sembilan pegawai awam juga telah ditempatkan di kaunter-kaunter tersebut bagi memudahkan orang ramai yang berurusan di situ,” katanya. -UTUSAN ONLINE










