PUTRAJAYA 27 Nov. – Kehadiran 200 kaum India ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini bagi melakukan urusan berkaitan permohonan kewarganegaraan, kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, mereka dibawakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kebajikan Prihatin 1Malaysia bagi melakukan urusan tersebut.
Selain itu, beliau menegaskan, masalah dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan tidak membabitkan satu kaum sahaja kerana ia juga membabitkan bangsa lain.
“Bukan masalah orang India, orang Asli, rakyat di pendalaman khususnya Sabah dan Sarawak iaitu membabitkan kaum Penan juga mengalami isu sama.
“Mereka ini berhadapan isu akses logistik untuk melakukan permohonan, oleh sebab itulah, JPN sentiasa mengadakan program turun padang di kawasan pendalaman bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau mengulas kehadiran 200 kaum India di ibu pejabat JPN sejak awal pagi yang melakukan urusan berkaitan urusan permohonan dokumen pengenalan diri.
Mengulas lanjut kehadiran itu, Mohammad Razin menambah, sehingga pukul 4 petang tadi, sebanyak 92 urusan direkodkan membabitkan soal warganegara, 23 (kad pengenalan) dan 70 sijil kelahiran.
“Kita telah membuka lebih kaunter di satu bilik besar bagi menampung bilangan itu dan urusan ini tamat sehingga ia selesai.
“Sehingga kini, semua urusan berjalan lancar dengan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Online di JPN mendapati jumlah itu tidak sampai 1,000 orang seperti dilaporkan oleh sebuah portal dan hanya 200 yang hadir.
Laporan portal itu mendakwa mereka menjadi mangsa kerajaan sebelum ini yang dikatakan tidak pernah mengeluarkan kedua-dua dokumen pengenalan diri itu. – UTUSAN ONLINE










