Jerai Geopark dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan - Utusan Malaysia

Jerai Geopark dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN – Jerai Geopark di sini hari ini dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan sempena pertabalan Sultan Kedah Ke-29, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 22 Oktober lalu.

Pemasyhuran itu disempurnakan Sultan Sallehuddin di kaki Gunung Jerai, Guar Chempedak dekat sini.

Geopark merupakan satu istilah yang digunakan bagi menerangkan konsep pembangunan lestari yang mementingkan pemuliharaan sumber warisan semula jadi, di samping memartabatkan sejarah dan budaya serta merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kajian pembangunan Jerai Geopark bermula pada tahun 2016 yang diterajui Jabatan Mineral dan Geosains Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Katanya, Jerai Geopark yang berkeluasan 800 kilometer persegi diperakukan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun lepas selepas kajian pembangunan itu dilakukan selama 18 bulan.

“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10.7 juta dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) untuk Projek Penilaian Potensi Pembangunan Geopark bagi pengekalan dan pemuliharaan sumber semula jadi negara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM685,000 telah disalurkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan yang lengkap dan terperinci pada tahun tahun 2017 hingga 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pemasyhuran Jerai Geopark sebagai Geopark Kebangsaan di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis pemasyhuran itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew.

Konsep geopark ini telah mula diperkenalkan pada tahun 2001 di bawah Global Geopark Network (GGN), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Xavier berkata,  Jerai Geopark turut berpotensi tinggi untuk diiktiraf sebagai global geopark pada masa akan datang.

“Sehingga kini, terdapat 140 global geopark yang terletak di 38 buah negara di seluruh dunia.

“Besar harapan kita agar Jerai Geopark akan memperoleh status global geopark pada masa akan datang sekali gus menjadi yang kedua mencapai penarafan itu di negara ini selepas Langkawi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN