PASIR MAS 16 Nov. – Raut wajah Sharifah Murni Sayed Ab Aziz, 27, kelihatan sugul saat melihat jenazah suaminya Wan Mohd. Arif Wan Yahya, 28, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pok Man, Kampung Atas Sekil, Padang Embun, Tendong di sini malam tadi.
Jenazah Allahyarham Wan Mohd. Arif atau lebih mesra dengan panggilan Ayeh selamat dikebumikan pada pukul 11.30 malam.
Terdahulu, van membawa jenazah allahyarham yang diiringi anggota unit trafik bertolak dari Hospital Dungun kira-kira pukul 6.30 petang dan disembahyangkan di Masjid Dungun, Terengganu.
Jenazah allahyarham tiba di kediaman orang tuanya pada pukul 10.30 malam
dan disembahnyangkan sekali lagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Wan Mohd. Arif yang bertugas di Balai Polis Paka itu dijumpai terapung di permukaan air kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian oleh sepasukan anggota SAR pada pukul 12.25 tengah hari semalam selepas lapan hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam, Jumaat lalu itu, allahyarham bersama tiga rakan sekerjanya sedang mengejar suspek dikenali sebagai Zul Ayam di lokasi berkenaan.
Ketika sedang mengejar lelaki itu, Ayeh dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Paka bersama-sama suspek.
Lebih 300 sanak saudara, penduduk kampung, sahabat handai dan anggota polis hadir memberikan penghormatan terakhir.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammed Piah. – UTUSAN ONLINE










