LONDON 6 Nov. – Anugerah Penjenamaan Dunia yang berprestij, sanjungan pengiktirafan jenama global yang muktamad, telah menyaksikan 270 jenama dari 33 buah negara dinamakan sebagai ‘Jenama Terbaik untuk Tahun ini’ dalam satu majlis yang gilang-gemilang yang diadakan di State Apartments di Istana Kensington, baru-baru ini.
Beijing Tong Ren Tang, BMW, Cartier, Club Med, JinkoSolar, Lego, L’Oreal, Louis Vuitton, Nescafe, Rolex, Samsung, Schwarzkopf dan Yakult telah diumumkan sebagai pemenang global bagi edisi anugerah kali ini.
Pemenang di peringkat wilayah ialah Ajinomoto, Uniqlo (Jepun); Giordano, Optical 88, Sasa, Shangri-La (Hong Kong); Indomie (Indonesia); LuLu; RAK Ceramics (Emiriah Arab Bersatu); MTN (Afrika Selatan); dan Zara (Sepanyol).
Pemenang di peringkat kebangsaan dari Malaysia termasuk Getha, Golden Screen Cinemas, Maybank, MML, Mr. D.I.Y., Pertama, Secret Recipe, Spritzer, Sunway Lagoon, Sunway Property, Universiti Sunway dan Tenaga Nasional Berhad (TNB); manakala jenama dari Singapura termasuk BreadTalk, DBS, Great Eastern, Raffles Education, Singapore Airlines, Singtel dan Skylight.
Pemenang dihakimi secara unik melalui tiga aliran: penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna, dan pengundian dalam talian awam.
Sebanyak 70 peratus daripada proses pemarkahan datang daripada undi pengguna. Hanya ada satu pemenang dalam setiap kategori bagi setiap negara.
“Anugerah itu meraikan pencapaian bagi beberapa jenama yang terbesar di seluruh dunia. Dengan purata hanya enam pemenang bagi setiap negara, ia benar-benar satu pencapaian yang hebat untuk menjadi sebuah pemenang bagi anugerah ini,” kata Richard Rowles, Pengerusi bagi Forum Penjenamaan Dunia.
Tahun ini, anugerah itu telah dibahagikan kepada dua upacara penganugerahan, dengan jenama dari Amerika dan Caribbean dianugerahkan dalam satu acara berasingan yang diadakan lebih awal pada Julai di New York.
Lebih 230,000 pengguna dari seluruh dunia mengambil bahagian di dalam proses pengundian.
“Lebih daripada 4,500 jenama dari 57 buah negara telah dicalonkan pada tahun ini, dengan 351 jenama dari 49 buah negara diisytiharkan sebagai pemenang – 81 jenama dari 16 buah negara telah menerima anugerah di New York; dan 270 pemenang dari 33 buah negara menerima anugerah di London.
Bukan setiap negara mendapat penganugerahan, kerana beberapa jenama tidak mendapat undi yang mencukupi untuk melayakkan diri,” kata Peter Pek, Ketua Eksekutif bagi Forum itu.
Kini berada dalam tahun kelima, anugerah itu dianjurkan oleh Forum Penjenamaan Dunia, sebuah organisasi global yang tidak mencari keuntungan yang khusus dalam memajukan standard penjenamaan.
Ia menganjurkan dan menaja pelbagai bentuk program pendidikan. Forum itu juga menerbitkan berita-berita penjenamaan di laman web mereka yang mencapai lebih 23.69 juta penonton di seluruh dunia. Acara itu telah dihoskan oleh David Croft dari Sky Sports. – BERNAMA










