ZAGREB 16 Nov. – Croatia mengekalkan harapan mereka untuk mara ke final Liga Negara-Negara selepas Tin Jedvaj menyumbat gol kemenangan 3-2 ke atas Sepanyol pada penghujung perlawanan dalam pertembungan Kumpulan 4 hari ini.
Sepanyol kekal di kedudukan teratas kumpulan dengan enam mata sepanjang empat perlawanan namun kelebihan itu tidak boleh bertahan lama memandangkan England dan Croatia, yang masing-masing mengumpul empat mata dalam tiga perlawanan, akan bertembung di Wembley Ahad ini.
Pemenang akan berada di anak tangga teratas dan mara ke empat terakhir tahun depan, manakala hanya keputusan seri bakal mengekalkan kedudukan tertinggi Sepanyol.
Kemenangan tersebut mengubati kedukaan Croatia yang pernah dimalukan Sepanyol 0-6 dalam perlawanan terdahulu, dengan jurulatih mereka Zlatko Dalic kini yakin semangat daripada naib juara Piala Dunia mampu menterjemahkan kemenangan di peringkat kumpulan.
“Kami perlu menikmatinya dan memberikan yang terbaik, dan saya yakin kami mampu meneruskan rentak kemenangan ketika berdepan England nanti.
“Ia satu perlawanan yang menarik. Lima gol, seperti menaiki rollercoaster dan di penghujungnya kami meraih kemenangan. Kami terus berjuang untuk meraih kemenangan, malah mereka semua ke depan di saat terakahir dan keberanian mereka dibayar dengan nilai tinggi.
“Wajah baharu pasukan ini nampaknya semakin terserlah,” kata Dalic, yang menjadi saksi terhadap kemenangan 2-1 Croatia ke atas England di separuh akhir Piala Dunia pada Julai lalu.- REUTERS










