Jangan main api - Utusan Malaysia

Jangan main api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 16 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan diberi amaran tdak ‘bermain api’ dalam usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat yang cintakan keamanan di negara ini tanpa mengira bangsa bersedia ke jalan raya menyatakan bantahan untuk menumbangkan kerajaan yang didakwa tidak demokratik.

“Kita beri amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan yang baru berusia enam bulan jangan bermain api perkauman, jangan langgar lampu merah dalam negara yang kita cintai.

“Pas beri amaran kita akan gerakkan seluruh bangsa, seluruh orang Melayu, seluruh umat Islam yang cintakan keamanan negara, kita minta ketegasan kerajaan untuk menolak ICERD dengan jelas dan terang, jangan berdolak-dalik, ada menteri kata terima, ada kata tangguh, tolong jangan beri isyarat tidak jelas kepada rakyat,” katanya semasa berucap di himpunan aman di Dataran Muhammadi di sini hari ini.

Seramai 5,000 umat Islam tanpa mengira latar belakang politik berhimpun bermula pukul 2.00 petang selama hampir sejam bagi menzahirkan rasa tidak senang mereka kepada hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersebut.

Laungan takbir serta seruan ‘hidup rakyat’, ‘tolak ICERD’, ‘jangan main api’ serta ‘jahanam Pakatan Harapan’ berselang-seli kedengaran sepanjang himpunan.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Pas Pusat yang juga Ketua Pemuda Pas negeri, Ahmaf Fadhli Shaari pula mahu semua rakyat bangkit dan memastikan petualang serta barua ICERD gagal melaksanakan agenda jahat mereka.

“Jangan usik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kerana itu batasan terakhir, kalau mereka tidak mahu melihat orang Melayu bangkit dengan kuat dan menyaksikan darah mengalir maka jangan sesekali melampaui batas,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor pula berkata, kesan daripada ratifikasi ICERD bukan sahaja akan mengancam hak keistimewaan orang Melayu bahkan akan menjejaskan kepentingan kaum lain juga.

“Kita nak ajak juga rakan-rakan bangsa Cina dan India bahawa jika ICERD ini diratifikasi sekolah Cina dan India juga akan terhapus, itu yang sebenarnya menteri tidak bagitahu, malah DAP sebenarnya hanya gunakan barua-barua Melayu dan proksi untuk jayakan niat mereka,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN