KOTA BHARU 16 Nov. – Pas memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan agar tidak ‘bermain api’ dalam usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat yang cintakan keamanan tanpa mengira kaum bersedia ke jalan raya bagi menyatakan bantahan untuk menumbangkan kerajaan yang didakwa tidak demokratik.
“Kita beri amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan yang baru berusia enam bulan, jangan bermain api perkauman, jangan langgar lampu merah dalam negara yang kita cintai.
“Pas akan gerakkan seluruh bangsa, seluruh orang Melayu, seluruh umat Islam yang cintakan keamanan negara. Kita minta ketegasan kerajaan untuk menolak ICERD dengan jelas dan terang, jangan berdolak-dalik, ada menteri kata terima, ada kata tangguh, tolong jangan beri isyarat tidak jelas kepada rakyat,” katanya semasa berucap dalam himpunan aman di Dataran Muhammadi di sini hari ini.
Kira-kira 5,000 umat Islam tanpa mengira latar belakang politik berhimpun bermula pukul 2 petang selama hampir sejam bagi menzahirkan rasa tidak senang sambil berselang seli melaungkan takbir serta seruan ‘hidup rakyat’, ‘tolak ICERD’ serta ‘jahanam Pakatan Harapan’.
Himpunan itu turut melakar sejarah apabila menemukan pimpinan Pemuda UMNO dan Pas negeri di atas pentas yang sama di samping penglibatan pertubuhan bukan kerajaan antaranya Ikatan Muslimin Malaysia (Isma); Cakna Palestin; Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida); Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).
Ketika ditemui pemberita, Tuan Ibrahim berkata, tidak ada keperluan untuk badan antarabangsa campur tangan dalam isu ketidaksamarataan di negara ini kerana hakikatnya sejak dahulu tiada diskriminasi apabila semua kaum bebas mencari rezeki dan terlibat dalam pelbagai bidang termasuk politik.
“Lebih baik badan dunia menumpukan bagaimana sikap Israel kepada penduduk Palestin dan nasib rakyat yang ditindas di Myanmar, itu lebih besar,” tegasnya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Pas Pusat yang juga Ketua Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli Shaari pula mahu semua rakyat bangkit dan memastikan pihak tidak bertanggungjawab gagal melaksanakan agenda jahat mereka.
“Jangan usik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kerana itu batasan terakhir. Kalau mereka tidak mahu lihat orang Melayu bangkit dengan kuat dan menyaksikan darah mengalir maka jangan sesekali melampaui batas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor pula berkata, kesan daripada ratifikasi ICERD bukan sahaja akan mengancam hak keistimewaan orang Melayu bahkan menjejaskan kepentingan kaum lain juga.
“Kita hendak ajak juga rakan-rakan bangsa Cina dan India bahawa jika ICERD ini diratifikasi, sekolah Cina dan India juga akan terhapus, itu yang sebenarnya menteri tidak beritahu, malah DAP sebenarnya hanya gunakan orang Melayu dan proksi untuk jayakan niat mereka,” katanya.










