Jangan jadikan insiden kuil sebagai pentunjuk membina bangsa Malaysia - Utusan Malaysia

Jangan jadikan insiden kuil sebagai pentunjuk membina bangsa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Nov. – Biro Aduan Masyarakat Melayu Malaysia (Pertama) menggesa semua pihak supaya tidak menjadikan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang sebagai petunjuk menakutkan untuk membina bangsa Malaysia berteraskan Perlembagaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama mahukan keharmonian dan kemakmuran.

Beliau bagaimanapun menegaskan tonggak utama kepada kemakmuran tersebut adalah perpaduan serta keutuhan masyarakat Melayu Islam yang merupakan majoriti dan penghuni asal negara ini.

“Penyatuan itu akan menjadi wadah untuk mengelakkan perpecahan angkara kepentingan politik sesetengah pihak.

“Jangan jadikan insiden itu sebagai petunjuk menakutkan untuk kita membina Malaysia berteraskan Perlembagaan negara yang menjanjikan harapan buat semua,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd. Fared turut mengingatkan pemimpin Islam agar tidak mengutamakan kuasa sehingga meletakkan prinsip agama suci itu di tempat kedua.

“Kekalutan yang berlaku hari ini adalah disebabkan pemimpin sendiri yang hilang arah kerana kuasa.

“Sehebat mana dasar Islam yang digariskan, ini tidak mungkin terlaksana mengikut acuan sebenar jika politik berada di hadapan” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN