IPOH 27 Nov. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad memberi amaran kepada pemimpin Pakatan Harapan negeri supaya tidak mencabar beliau dalam isu pendedahannya mengenai wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Saarani yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, UMNO tidak mempunyai apa-apa kepentingan apabila mendedahkan rancangan tersebut kerana UMNO tidak berminat untuk mengambil alih kerajaan negeri dengan cara ‘mencuri’ wakil rakyat Pakatan Harapan.
Menurutnya, jika pemimpin Pakatan Harapan terus mengasak dan menuding jari terhadapnya, beliau sedia untuk mendedahkan nama Exco kerajaan negeri yang mahu menjatuhkan Menteri Besar dalam Persidangan DUN Perak yang bermula hari ini.
“Jangan cabar saya. Saya pun tak ada nak simpan-simpan benda ini, dalam dewan (Persidangan DUN) nanti saya jawab (dedah nama). Kalau saya jawab, ADUN UMNO yang dipujuk oleh Exco berkenaan akan berdiri dan mengaku, nanti Exco berkenaan yang akan malu.
“Saya nasihatkan kepada rakan-rakan di sebelah sana, kalau mereka asak lagi saya, saya tiada masalah untuk mendedahkan namanya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hari ini yang akan membuat laporan polis setelah mengesahkan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Saarani mengalu-alukan tindakan tersebut.
“Saya tidak takut malah sedia mengheret semua mereka yang terlibat dalam rancangan untuk menjatuhkan Menteri Besar jika laporan polis dibuat, lagi cepat laporan polis dibuat lagi bagus,” katanya. – UTUSAN ONLINE










