Jangan burukkan keadaan! - MB Selangor - Utusan Malaysia

Jangan burukkan keadaan! – MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Semua pihak diminta berhenti mengeluarkan kenyataan yang memburukkan keadaan dan bekerjasama bagi mengembalikan ketenteraman awam selepas kejadian rusuhan di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25 dekat sini awal pagi tadi.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Majlis Keselamatan Negeri akan bermesyuarat petang ini untuk membincangkan langkah seterusnya bagi memastikan keadaan kembali tenteram.

Beliau juga mengumumkan kerajaan negeri akan menanggung semua kos rawatan anggota bomba, Muhammad Adib Muhammad Kasim yang cedera ketika bertugas memadamkan kebakaran di kawasan rusuhan semalam.

“Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menanggung semua kos rawatan saudara Muhammad Adib. Sama-samalah kita mendoakan agar beliau dikurniakan kesembuhan segera.

“Keutamaan saya buat masa ini ialah untuk mengembalikan ketenteraman awam dan memastikan keadaan kembali pulih seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut satu kenyataan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya kini sedang bertarung nyawa dan hanya bergantung kepada sistem sokongan hayat.

JBPM turut menafikan mesej tular yang mendakwa Muhammad Adib telah meninggal dunia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN