Jabatan Imigresen sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam pertahankan amanah, integriti - Utusan Malaysia

Jabatan Imigresen sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam pertahankan amanah, integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Jabatan Imigresen bersedia bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha mempertahankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dan integriti jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, selain kerjasama dengan pihak terlibat, pihaknya juga akan mengambil tindakan kepada mana-mana anggota Jabatan Imigresen yang didapati bersalah menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam rasuah. 

“Menjadi satu ketetapan bagi anggota Jabatan Imigresen untuk menjalankan tugas dengan amanah dan berintegriti seperti yang dipertanggungjawabkan kepada kami. 

“Sekiranya terdapat segelintir pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang melakukan kesalahan terutamanya melibatkan integriti, sudah tentu kita tidak akan membiarkan mereka berterusan menjadi duri dalam daging jabatan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tangkapan empat anggota Jabatan Imigresen termasuk seorang pegawai kanan bergelar datuk, selepas hadir ke Perhimpunan Setia Berjasa Jabatan Imigresen Perak Bil. 5 2018 di sini hari ini. 

Kosmo! hari ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu iaitu seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen bergelar Datuk, tiga pegawai imigresen lain dan seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan permohonan pas lawatan ikhtisas dan pas lawatan kerja sementara di negeri Johor. 

Menurut Mustafar, Jabatan Imigresen akan melihat prosedur sedia ada yang telah ditetapkan kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap keempat-empat pegawai tersebut. 

“Kes-kes seperti ini ada prosedur tertentu seperti gantung dan tahan mereka daripada bekerja buat sementara waktu. 

“Bagaimanapun, Jabatan Imigresen akan melihat tindakan yang sesuai yang perlu diambil memandangkan ia masih dalam siasatan SPRM,” katanya. 

Dalam majlis tersebut, seramai 18 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Perak menerima Anugerah Prestasi Cemerlang 2018 atas perkhidmatan yang diberikan kepada jabatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN