KANGAR 19 Nov. – PKR negeri berharap isu penularan video wawancara bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF), P. Waytha Moorthy di Belanda kira-kira 10 tahun lalu tidak dipanjangkan.
Pengerusinya, Mohammad Faisol Abd. Rahman malah melihat terdapat usaha pihak tertentu yang cuba memainkan sentimen perkauman di saat isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sedang panas.
Katanya yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Arau, semua pihak sehubungan itu perlu bertenang dan tidak menjadi ‘batu api’ yang boleh mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan terhadap negara.
“Saya berpandangan mereka yang menularkan video lama tersebut sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat ini yang perlu dikenakan tindakan.
“Sekarang ini adalah masa untuk kita memulihkan negara dan perpaduan berbilang agama serta kaum yang sepatutnya menjadi agenda utama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam video berdurasi dua minit dan 39 saat itu, Waytha Moorthy mendakwa Malaysia melakukan perlanggaran hak asasi manusia yang besar dengan mendiskriminasi hak kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama
Berikutan itu, ramai pihak termasuk dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan marah seterusnya mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu segera meletak jawatan.
Tambah Mohammad Faisol, sistem kuota yang melihat kepada bangsa dan agama pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) menyebabkan golongan minoriti khususnya seperti kaum India dan Orang Asli merasa terpinggir.
Katanya, golongan tersebut mungkin merasakan mereka terpinggir daripada perkongsian ekonomi, pendidikan dan jawatan di dalam kerajaan pada masa itu.
“Maka peranan Malaysia era baharu Kerajaan Pakatan Harapan sewajarnya mengambil perhatian pada kelompok ini agar mereka juga dapat menikmati kejayaan yang dicapai kelompok majoriti,” katanya.- UTUSAN ONLINE










