KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur yang membatalkan keputusan kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands.
Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara ini akan dibawa ke dalam mesyuarat kelak.
“Hal tersebut bagi kita membuat keputusan termasuk bagaimana hendak menyelesaikan situasi terbaharu ini,” katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu tidak menyentuh secara terperinci mengenai perkara tersebut.
Terdahulu, Wan Azizah tiba di IJN pada pukul 5.45 petang dan meluangkan masa lebih setengah jam melawat anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN.
Dalam kejadian Selasa lalu, Muhammad Adib dipercayai diserang dan dipukul perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya sebelum beliau dikejarkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sejurus dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut.
Semalam, Hakim Datuk Azizah Nawawi juga memutuskan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh sebagai tidak sah dan M Manogaran yang kalah kepada Sivarraajh di kerusi itu berjaya membuktikan wujudnya amalan rasuah yang dalam pengetahuan dan keizinan ahli Parlimen kawasan itu.
PRU-14 lalu, Ketua Pemuda MIC, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.
Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan Manogaran dari PKR (9,710 undi), Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas (3,587 undi), Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari PSM (680 undi). – K! ONLINE










