Isu ICERD: MCCF sokong PDRM - Utusan Malaysia

Isu ICERD: MCCF sokong PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang meminta orang ramai tidak membuat sebarang kenyataan dan bertindak mengganggu keselamatan awam dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disokong penuh oleh Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF).

Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata, tindakan segelintir pihak yang menyuarakan pendapat melalui saluran yang salah mampu menggugatkan perpaduan dan keharmonian masyarakat negara ini.

“Kami memperjuangkan perpaduan, keamanan dan keharmonian kaum jadi jelas cara yang digunakan segelintir pihak dengan membelakangkan undang-undang dalam membantah isu tersebut boleh menimbulkan ketegangan.

“Walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi, namun kebebasan bersuara yang diberikan tidak bermakna orang ramai dibenarkan melampaui batas undang-undang sehingga menyentuh sensitiviti negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, masyarakat tidak boleh mudah terpengaruh dengan pandangan pihak yang mempolitikkan isu ICERD untuk kepentingan parti tertentu.

“ICERD bukan sahaja melibatkan kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera, malah menjadi asas kepada latar belakang Malaysia yang unik kerana kepelbagaian masyarakat dan agama di dalamnya,” ujarnya.

Sementara itu, MCCF juga menyokong perhimpunan bantahan ICERD yang bakal diadakan pada 8 Disember ini melibatkan beberapa parti politik negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN