SUKAN lasak antarabangsa Ironman terus menjadi ikonik di Malaysia apabila ia sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan selepas menyaksikan penyertaannya sentiasa menunjukkan peningkatan setiap tahun.
Selepas hampir 17 tahun penganjurannya di Malaysia, tahun ini menyaksikan jumlah penyertaan seramai 2,400 atlet dari serata dunia yang mewakili 73 negara menggegar pulau ikonik tersebut.
Penyertaan tahun ini menunjukkan peningkatan 400 peserta apabila tahun 2017 disertai 2,000 peserta dari 60 buah negara.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Datuk Azizan Noordin berharap pihak penganjur sentiasa menjadikan Langkawi sebagai destinasi wajib untuk tahun-tahun akan datang bagi menganjurkan acara sukan berprestij tersebut.
“Ironman Malaysia Langkawi merupakan 16 daripada ekopelancongan yang tersenarai dalam program di pulau ini dan menyaksikan sambutan amat menggalakkan.
“Bagi disiplin renang, Langkawi mendapat pujian daripada penganjur dan tahun lalu juga pernah menjadi yang terbaik kerana tempat dan airnya yang sangat cantik serta tenang.
“Saya harap tahun-tahun akan datang acara ini terus diadakan di Langkawi kerana ia mempunyai persamaan dengan kejohanan Ironman dunia Kona di Hawaii,” katanya.
Sementara itu, Azizan juga mengakui pihaknya bakal memberikan tajaan 50 peratus perbelanjaan sekiranya terdapat 50 peserta pertama dari Malaysia dapat mewakili kejohanan dunia di Kona tahun depan.
“Tahun lalu anak kelahiran Langkawi, Lim Chee Yong mara ke pusingan kelayakan di Kona dan pihak kami telah memberikan tajaan sebanyak 50 peratus dari segi kewangan untuk pergi ke Hawaii.
“Tahun ini sesiapa yang menang untuk 50 peserta pertama, insya-Allah kami akan memberikan tajaan kerana mereka telah mempromosikan Malaysia dan Langkawi di mata dunia,” katanya.
Keputusan tersebut dilakukan selepas melihat kepentingan sukan lasak tersebut mampu memberikan impak positif buat negara serta bilangan peserta tempatan juga menunjukkan peningkatan yang sangat baik bagi edisi 2018.
Bagaimanapun, keputusan untuk terus menambah bilangan peserta masih dalam perbincangan ekoran perlu memikirkan keadaan semasa demi keselesaan individu yang mengambil bahagian.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB), Datuk Zulkefli Sharif memberitahu, penambahan jumlah peserta untuk tahun-tahun akan datang perlu mengambil kira kapasiti ruang yang ada bagi memastikan perjalanan kejohanan dapat berlangsung dengan sempurna.
“Tahun ini kita mendapati jumlah penyertaan adalah ramai dan saya amat bangga apabila tahun lepas kami membuat perbincangan untuk menaikkan jumlah penyertaan.
“Jadi, atas inisiatif ini kami dapat memperbesarkan tempat meletakkan basikal dan dengan keluasan yang ada kami dapat menampung jumlah peserta yang ada seramai 2,400 peserta.
“Namun, berdasarkan kepada perbincangan jumlah peserta mungkin tidak akan dinaikkan tahun depan kerana kita perlu memikirkan dan menitikberatkan kapasiti tempat ini.
“Hal ini kerana tempat meletakkan basikal adalah penting supaya tiada pelanggaran antara peserta dan jika ditambah jumlah penyertaannya kita perlu melihat dari segi keupayaan kawasan ini terlebih dahulu,” katanya.
Pada Ironman kali ini, atlet Ukraine, Daniil Sapunov mengungguli kategori lelaki profesional, manakala peserta dari Jerman, Mareen Hufe pula menjuarai kategori wanita profesional.










