IPT diminta buat sesi perjelas undang-undang, budaya tempatan kepada pelajar asing - Utusan Malaysia

IPT diminta buat sesi perjelas undang-undang, budaya tempatan kepada pelajar asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Pihak polis meminta pihak institusi pengajian tinggi antarabangsa di sini untuk mengadakan sesi penerangan mengenai undang-undang dan budaya tempatan kepada pelajar-pelajar baharu warga asing ekoran kes langgar lari sehingga mengakibatkan kematian seorang pekerja Telekom Malaysia Bhd (TM) Unifi di hadapan Shaftbury, Cyberjaya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Abdul Aziz Ali berkata, beliau meminta supaya pihak universiti dapat memberikan tempoh selama dua jam kepada pihak polis supaya dapat menerangkan kepada para pelajar mengenai kepentingan untuk memahami tentang undang-undang dan budaya tempatan.

Jelas beliau, pada ketika ini terdapat lebih 5,093 pelajar asing kini melanjutkan pelajaran masing-masing di lima buah institusi pengajian tinggi antarabangsa yang terdapat di Cyberjaya.

“Ini kerana pihak polis telah menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan tentang masalah yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar antarabangsa seperti memandu tanpa lesen, meminum arak di tempat yang tidak sepatutnya dan juga berpakaian seksi,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Cyberjaya di sini hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, Wan Amirah Wan Alias, 31, yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut selepas dilanggar.

Ekoran daripada itu seorang warga Libya berumur 23 telah didakwa di Mahkamah Sepang ekoran daripada kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan melakukan operasi secara berterusan bagi membanteras warga asing yang tidak mematuhi undang-undang di kawasan tersebut.

Jelas beliau, sebanyak 45 saman telah dikeluarkan terhadap warga asing dan 27 daripada saman merupakan kes memandu tanpa lesen menerusi operasi bersepadu selama lapan jam melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Kebanyakan saman ini melibatkan pelajar warga asing yang terdiri daripada warga Yemen, Pakistan, India dan China,” jelas beliau.

Menerusi operasi bersepadu tersebut, sebanyak 128 saman bagi kesalahan trafik dikeluarkan, 67 saman daripada pihak JPJ sementara Jabatan Imigresen turut menahan empat orang pendatang asing tanpa izin dan terdapat satu kes membabitkan Akta Dadah Berbahaya.

“Selain itu, pihak berkuasa turut merampas sebuah kereta dan dua buah motosikal pada operasi yang dijalankan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz turut meminta pengusaha-pengusaha kereta sewa di sekitar bandar tersebut supaya memastikan pelanggan mereka mempunyai dokumen yang lengkap seperti lesen memandu yang sah dan pengenalan diri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×