KUALA LUMPUR 29 Nov. – Industri jualan langsung di Malaysia dijangka mencecah nilai RM17 bilion pada tahun ini, terus meningkat daripada RM15 bilion sejak dua tahun lalu.
Presiden Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM), Datuk Tan Chong Guan berkata, statistik menunjukkan industri sentiasa berkembang dan trend itu dijangka berterusan pada tahun ini.
“Kami menjangkakan trend ini terus meningkat. Sebabnya termasuk semakin banyak syarikat sedang berkembang ke luar negara dan produk-produk terbabit dibuat di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbincangan dan tinjauan meja bulat media berkenaan jualan langsung di Malaysia di sini hari ini.
Menurut Chong Guan, jualan tahunan dalam kalangan ahli DSAM pada tahun lepas berjumlah RM6.2 bilion, meningkat 21.8 peratus daripada RM5.09 peratus pada 2016.
“Sebahagian besar perolehan jualan hadir daripada produk kesihatan iaitu merangkumi 53 peratus, barangan rumah (17 peratus) serta kosmetik dan penjagaan kesihatan (15 peratus).
“Ia diikuti makanan dan minuman (lima peratus), pakaian dan aksesori (lima peratus), buku, mainan dan alat tulis (tiga peratus) serta masing-masing penjagaan dan pembaikan rumah (satu peratus),” katanya.
Beliau berkata, keahlian DSAM turut semakin meningkat kepada 114 ketika ini daripada 105 pada penghujung tahun lepas, dan hanya 78 pada 2016.
“Pengedar aktif DSAM setakat hujung tahun lalu berjumlah 3.1 juta, meningkat daripada dua juta pada tahun sebelumnya.










