KOTA BHARU 15 Nov. – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) berhasrat membantu kira-kira 1,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak berkemampuan membayar balik pinjaman itu.
Presidennya, Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya sudah membuat tinjauan secara rambang di seluruh negara bagi mengenal pasti peminjam yang berkelayakan untuk dibantu.
Katanya, Ikhlas sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan bekerjasama dengan sebuah syarikat kesihatan dan kecantikan bagi merealisasikan hasrat itu.
“Ikhlas akan bekerjasama dengan sebuah syarikat dengan cara menyasarkan 20 peratus daripada keuntungan syarikat akan disalurkan kepada peminjam PTPTN.
“Kita akan mengenal pasti keluarga atau individu yang benar-benar layak untuk menerima sumbangan itu dan tabung itu akan dilancarkan pada Januari tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
Mengulas lanjut, Mohd. Ridzuan berkata, ada keluarga yang memang tidak berkemampuan membayar balik pinjaman itu disebabkan tekanan kos sara hidup yang tinggi.
“Saya yakin 80 peratus peminjam PTPTN tidak mampu membayar balik pinjaman itu dan kita juga membuka peluang kepada mana-mana syarikat sekiranya ingin bekerjasama melaksanakan hasrat murni tersebut.
“Setakat ini kita sudah mempunyai tiga stokis dan akan bertambah sebanyak 11 stokis yang mana mereka akan memain peranan dalam usaha mengenal pasti penerima yang layak,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










