SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menyambut baik keputusan tegas dan berprinsip kerajaan yang membuat kenyataan rasmi bahawa Malaysia membatalkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Mohamad berkata, keputusan tersebut sudah pastinya menjawab dan memberi penamat kepada pelbagai spekulasi dan pertikaian panas yang dilihat UMNO selama ini.
“Kerajaan Malaysia telah membuat kenyataan rasmi bahawa negara kita tidak akan meratifikasi ICERD, demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
“Selepas pelbagai penegasan serta bantahan yang dikemukakan oleh UMNO serta pergerakan sivil di peringkat massa, saya secara peribadi dan UMNO berterima kasih dan menyambut baik keputusan tegas serta berprinsip ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, UMNO akan terus memberikan kerjasama serta sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan dalam sebarang usaha demi membawa kebaikan serta kesejahteraan hubungan antara kaum dan etnik di Malaysia.
Tambah Mohamad, UMNO turut komited untuk terus membantu menambah baik formula keharmonian kaum yang kita bina dan amalkan selama ini.
“Semoga keputusan tegas kerajaan ini akan diterima baik oleh semua pihak dan sebarang usaha tidak bertanggungjawab untuk cuba membangkitkan kembali isu yang sudah diputuskan ini akan dihentikan,” ujarnya. – K! ONLINE









