ICERD, suasana panas berpunca daripada UMNO? - Utusan Malaysia

ICERD, suasana panas berpunca daripada UMNO?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 24 Nov. – UMNO didakwa menjadi punca suasana ‘panas’ sesetengah rakyat dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hari ini.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Abdul Khalid Samad berkata, isu tersebut sudah diperhangatkan hingga tahap mengugut dan mahu pertempuran serta pertumpahan darah.

“Bagaimanapun, saya kagum melihat di Sarawak yang tiada reaksi dan tidak ekstrim mungkin puncanya ketiadaan UMNO.

“Semenanjung mungkin UMNO ada hingga tahap parti itu mampu pengaruhi Pas untuk politik perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Santai Amanah Sarawak Bersama Media di Ibu Pejabat negeri sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Amanah Sarawak, Fidzuan Zaidi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebenarnya mereka tidak faham dan baca ICERD lantas ucapan sengaja diapi-apikan pemimpin UMNO dan Pas membuatkan orang biasa dipengaruhi dengan dikaitkan kehancuran negara, institusi raja, Islam dan Melayu.

“Ianya dilakukan semata-mata untuk wujudkan suasana tidak stabil, mungkin dengan harapan dapat selamatkan pemimpin UMNO yang sedang dihadapkan ke mahkamah satu persatu.

“Semenanjung ada UMNO guna isu ini dan Pas juga terikut-ikut ditambah dengan dakwaan pemimpinnya menerima bantuan kewangan daripada parti itu,” jelasnya.

Menurutnya, Pas yang dulunya untuk semua namun kini seperti bagi Melayu dan Islam menjadi sebab kenapa kami tinggalkan Pas.

“Sebenarnya kerajaan harapkan ICERD boleh dibincang secara tenang dan dikaji sejauh mana sebenarnya bercanggah serta sesuai kepada Perlembagaan namun malangnya ia tidak dapat dibahaskan.

“ICERD sebenarnya adalah baik yang menghalang diskriminasi kaum semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN