KUALA LUMPUR 24 Nov. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan segera mengemukakan usul supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ditolak secara rasmi dan direkod dalam hansard rasmi Parlimen.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, rakyat tidak yakin terhadap janji kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD selagi tidak dibuat mengikut peraturan undang-undang yang sepatutnya.
“Tindakan membawa usul di Parlimen ini akan menghilangkan keraguan sepenuhnya oleh majoriti rakyat kerana masih ada pihak yang membuat spekulasi bahawa ia adalah strategi sementara untuk mengelak Perhimpunan Rakyat pada 8 Disember nanti.
“Ada yang berpendapat tipu helah ini adalah suatu yang benar berdasarkan banyak pengalaman sebelum ini.
“Antaranya bagaimana kerajaan berdolak-dalik terhadap janji Manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










