MELAKA 24 Nov. – Kerajaan tidak perlu merekodkan dalam hansard rasmi keputusan yang dibuat untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diumumkan semalam.
Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menegaskan, perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana keputusan tersebut dibuat sebulat suara dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Beliau turut menyifatkan pembangkang sengaja mencetuskan isu baharu iaitu membabitkan soal hansard atau penyata rasmi harian walaupun kerajaan Pakatan Harapan telah memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.
“Apabila kerajaan memutuskan untuk tidak menandatangani ICERD, timbul pula isu keputusan itu tidak ada dalam hansard. Apa yang pembangkang mahu sebenarnya? Adakah hendak selesai atau heret perkara ini menjadi lebih kepada kepentingan politik.
“Kenapa pula perlu direkodkan ke hansard, perkara itu tidak ada kena-mengena dan keputusan ini bukan perlu kerajaan hendak tandatangan pun,” katanya.
Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari dan Ketua Wanita AWAN, Dr. Siti Mariah Mahmud.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kenyataan akhbar dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri mengenai keputusan kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD yang didakwa beliau tidak mengikut formaliti pentadbiran.
Ini kerana, perkara itu hanya boleh disahkan melalui tanda tangan Perdana Menteri sendiri yang kemudiannya membawa usul itu ke Parlimen agar dapat direkodkan dalam hansard rasmi.
Menurut Mujahid, beliau sendiri sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu ICERD dan hasilnya itu dibawa ke Kabinet.
Katanya, kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara.











