ICERD ‘mencemaskan’, tangguh dahulu – Anwar - Utusan Malaysia

ICERD ‘mencemaskan’, tangguh dahulu – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Beberapa kepemimpinan parti politik antaranya UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta umat Islam di seluruh negara terus membantah usa­ha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Terbaharu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut senada dengan kumpulan pembantah berkenaan dan menyifatkan kerajaan wajar menangguhkan usaha tersebut.

Beliau tanpa bersembunyi menyatakan bahawa triti berkenaan mencetuskan rasa ‘cemas’ dalam kalangan orang Me­layu dan bumiputera.

“Tetapi ada beberapa keraguan yang juga dijelaskan dalam Parlimen bahawa tidak sepatutnya merunsingkan kerana kita ada jaminan kedudukan Melayu, bumiputera, Islam agama Persekutuan dan bahasa Melayu.

“Apakah ia akan menjejaskan, ada kebimbangan di situ dan kita daripada pihak kerajaan menjelaskan tidak. Tetapi konvensyen dunia ini begini rupa yang juga menimbul juga sedikit sebanyak kerunsingan,” katanya dalam video yang dimuat naik Facebook beliau, semalam.

Anwar berkata, walaupun secara asasnya Malaysia mendukung prinsip menegakkan keadilan dan menolak diskriminasi, bagaima­napun kerajaan tidak seharusnya bersikap terburu-buru dalam meratifikasikannya.

Sebaliknya, kata beliau, keutamaan perlu diberikan kepada usaha memberi penerangan kepada akar umbi berkenaan matlamat asalnya.

“Untuk kita meterai, harus kita ambil kira kebimbangan, keresahan dan kemungkinan mencetuskan ketegangan kaum, jadi tujuannya baik tetapi pelaksanaan itu menimbulkan satu lagi kegelisahan,” katanya.

“Jadi, dalam peringkat ini di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru membetulkan kepincangan sistem yang lama selalu saya sebutkan bobrok itu, ia memerlukan kekuatan pimpinan parti Pakatan Harapan dan kekuatan rakyat untuk memberikan dukungan dalam semua isu yang kita boleh sepakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN