MARI imbas sejarah silam tanah air sekejap.
Kedaulatan raja hilang selama dua tahun semasa Malayan Union. Nasib baiklah orang Melayu ada Datuk Onn Jaafar yang tubuhkan UMNO dan bantah penubuhan Malayan Union, 1 April 1946.
Pada 1 Februari 1948, penubuhan Malayan Union dibatalkan dan ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu. Dari situlah setiap negeri ada perlembagaan masing-masing yang lebih kurang sama. Di peringkat Persekutuan pun ada Perlembagaan.
Kedaulatan raja masuk balik. Kewarganegaraan pun ada undang-undangnya. Itulah asas yang akhir untuk mengecap kemerdekaan. Bangsa lain tidak boleh hendak soal. Mereka perlu tengok balik sejarah.
Tidak perlu tengok jauh tetapi lihat perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Perjanjian itu ditandatangani antara British dengan Raja-raja Melayu. British tidak tandatangan dengan `raja bangsa-bangsa lain.
Ya! Selalu orang sebut tentang kontrak sosial tetapi apakah yang mereka faham? Mereka tidak boleh jawab. Apabila semua sudah bersetuju, peguam yang menulis Perlembagaan memasukkan, menjadi undang-undang dan Perlembagaan. Semua kontrak sosial yang dipersetujui sudah dimasukkan ke dalam Perlembagaan.
* Keliru Artikel 1(4)?
Perkara 153 dalam Perlembagaan bukan benda baharu. Kalau kita balik kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, perkara itu sudah ada iaitu klausa 19.
Cuma pada masa itu, ada bangsa lain cakap hak keistimewaan Melayu ini tidak boleh ada selamanya. Jadi, mereka minta dengan British supaya perkara ini dihadkan selama 15 tahun. Suruhanjaya Reid pada mulanya tulis 15 tahun sahaja dalam Perlembagaan. Tetapi UMNO dan Raja-Raja Melayu bantah. Kerajaan British beri kepada empat orang politik dan empat orang British berunding. Akhir sekali buang tempoh 15 tahun ini dan kekal seperti seadanya.
Penulis membawakan mukadimah ini kerana risau dengan rancangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Hujah-hujah yang terkandung dalam peruntukan ICERD yang menjadi polemik sekarang, kelihatan agak mengelirukan.
Perkara 1 ICERD contohnya menyebut adalah suatu diskriminasi bila memberi keistimewaan kepada sesuatu kumpulan berdasarkan kaum. Tetapi Perkara 1 (4) ada pula syaratnya.
“Langkah-langkah khusus yang diambil untuk tujuan tunggal mencapai kemajuan yang mencukupi bagi sesetengah golongan kaum atau etnik yang memerlukan perlindungan sedemikian demi memastikan kumpulan yang sama menikmati atau menjalankan hak asasi manusia dan kebebasan asas tidak akan dianggap diskriminasi kaum. Tapi dengan syarat ia tidak akan diteruskan setelah tujuan atau matlamatnya telah dicapai.
Ringkasnya, diskriminasi seperti yang terkandung dalam Perkara 153 dibenarkan jika memenuhi syarat-syarat yang disebut dalam fasal ini. Tanpa menghujahkan alasan-alasan lain, Perkara 153 tidak akan terkecuali kerana ia bukan bagi suatu tempoh yang terhad. Ia tidak menyebut bahawa ia tidak akan “diteruskan setelah tujuan yang ia (langkah itu) diambil telah dicapai”. Selain itu, jika
ICERD disahkan, pihak yang tidak mahu adanya Perkara 153 akan menghujahkan bahawa tujuannya telah tercapai dan masa selama lebih daripada 60 tahun sudah cukup panjang dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berterusan.
* Libatkan Majlis Raja-Raja
Sedangkan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.
Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu dan bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.
Soalnya, jika konvensyen itu disahkan, ada jaminankah tidak akan ada pihak yang akan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen itu?
Ya, bolehlah cakap ‘diskriminasi positif’ dibenarkan. Tapi hakikatnya Perlembagaan sama sekali tidak boleh dikompromi.
Cuma, persoalannya dalam isu ICERD, mengapa Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy tidak persembahkan cadangan ratifikasi ini kepada raja terlebih dahulu.
Sekarang sudah jadi polemik. Majlis Raja-raja sepatutnya diletakkan di hadapan kerana ICERD bersangkut paut dengan kedudukan Artikel 153.
* ICERD gugat ekonomi?
Kalau tidak tandatangan ICERD, apakah kita rugi atau ekonomi merudum? Takkanlah ICERD ada kena mengena dengan ekonomi. Singapura pun baharu mengesahkan ICERD pada 27 November 2017, selepas menandatanganinya pada Oktober 2015. Tidak ada masalah pun.
Kita tidak mahu ada agenda tersembunyi atau motif dalam mengesahkan ICERD ini? Dua ADUN DAP dari Tras, Chow Yu Hui dan Tanah Rata, Chiong Yoke Kong pun telah pun memuatnaik di laman sesawang dapmalaysia.org bahawa ‘DAP harus sokong ICERD’.
Usaha membantah ratifikasi ICERD oleh orang Melayu perlu ada momentum. Bila momentum ada, barulah berlaku acceptance. Kita orang Melayu masih berpecah belah dalam naratif Islam-Melayu. Sedar atau tidak sedar, ‘orang lain’ pijak kita.
ICERD dibawa sejak tahun 1969 tapi Majlis Peguam atau Bar Council tidak pernah putus asa hingga sekarang untuk mengesahkan.
Jadi, adakah usaha mengekangnya memerlukan Majlis Raja-raja memanggil semua ahli Parlimen Melayu Islam untuk memaklumkan perkara ini? Mampukah ini dilakukan dalam keadaan ahli-parlimen Melayu sendiri pun berpecah-belah?
* Malayan Union
Ada bertanya kepada akhbar ini, takkanlah ahli parlimen terbabit beria-ria benar mahu memuktamadkan ICERD, padahal waktu angkat sumpah jawatan akan pertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ya, takkanlah ia sekadar protokol sahaja walaupun cuak atau sedar risiko `Artikel 153 lama kelamaan dilanggar?
Apa pun, kelihatan sebahagian besar orang Melayu semakin bersatu hati membantah ICERD. Kesedarannnya cukup hebat. Isu ICERD umpama magnet yang akan menarik dengan sendirinya orang Melayu duduk di atas satu platform.
Momentumnya mesti pergi kepada rakyat dahulu. Tidak boleh disandarkan kepada raja-raja semata-mata. Paling mustahak, bagaimana orang Melayu perlu wujudkan gerakan massa yang boleh mencetuskan gelombang besar yang aman, sehingga sampai ke peringkat raja.
Jangan biarkan bantahan ratifikasi ICERD mengulangi sejarah tentangan hebat terhadap Malayan Union – menjadikan Malayan Union 2.0 pula.
Kita tidak mahu hak kaum Cina tergugat, hak kaum India tercemar, hak Melayu terusik. Dan hak-hak etnik-etnik dan bangsa lain terjejas. Dengan cara ini semua hak terjaga.
Tapi kena respeklah dahulu hak kita orang Melayu.











