ICERD: Kenapa UMNO dipersalahkan? - Utusan Malaysia

ICERD: Kenapa UMNO dipersalahkan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Menyalahkan UMNO kononnya cuba mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama mungkin jalan paling mudah untuk menutup segala kesilapan yang telah dilakukan.

Beberapa pihak dilihat cuba memanipulasikan keadaan dengan menanam sentimen bahawa segala isu panas tercetus akibat usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dimulakan oleh parti pembangkang.

Namun bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, masalah bermula apabila wakil negara (kerajaan) sendiri yang bercakap mengenai meratifikasi ICERD semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi (UNGA) di New York, Amerika Syarikat, September lalu yang akhirnya mengundang rasa kurang senang orang Melayu.

“Bukan orang lain bercakap, wakil negara yang bercakap mahu meratifikasikan ICERD. Bukan UMNO mulakan, bukan Pas mulakan,” katanya semasa berucap dalam majlis Lawatan Presiden Bersama Timbalan Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ke Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sepanjang 61 tahun memerintah, UMNO sentiasa menghormati agama lain meskipun Perlembagaan Persekutuan menyebut Islam adalah agama Persekutuan.

“Ada kita tolak agama lain? Adakah kita sekat mereka mengamalkan agama mereka? Kalau selama 61 tahun keharmonian boleh dipertahankan, kenapa mesti membakar minyak yang tidak pernah ada sumbunya untuk dibakar?” soalnya.

Beliau memberi amaran supaya hati orang Melayu dan Islam tidak diusik lagi.

Namun pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang akhirnya membuat keputusan tidak akan meratifikasi ICERD setelah banyak bantahan dibuat terutamanya oleh orang Melayu dan bumiputera yang tidak mewakili mana-mana parti politik.

Presiden UMNO itu bagaimanapun berkata, perhimpunan bagi membantah ratifikasi ICERD yang dirancang pada 8 Disember nanti tetap diteruskan dengan pendekatan berbeza bagi melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan untuk tidak akan meratifikasi ICERD.

Dilaporkan Ahmad Zahid turut mempersoalkan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) termasuk yang beragama Islam berhubung isu ICERD, dan dipercayai merujuk kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang minggu ini ‘dihentam’ teruk dalam sidang Dewan Rakyat berhubung konvensyen tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN