PULAU PINANG 15 Nov. – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP serta mereka yang berpandangan serupa diingatkan menyelidik dan memahami fakta sejarah politik yang berkaitan sebelum membangkitkan mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ingatan itu disuarakan pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Low Yong San dengan merujuk kepada dua fakta sejarah.
Pertama, kata beliau, sebelum kebanyakan kaum bukan Melayu memperoleh kewarganegaraan, malah sebelum penjajahan British di Malaya, satu sistem pemerintahan moden yang berpaksikan kepada Raja-raja Melayu telah diasaskan di negeri-negeri Melayu di Malaya.
Jelasnya, kerajaan kolonial British juga terpaksa mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu, sama ada secara sukarela atau secara paksaan, untuk melegitimasikan penjajahan British di Malaya.
Fakta kedua pula, tambah beliau, sepanjang tempoh pemerintahan British, melainkan dalam tempoh singkat pelaksanaan Malayan Union, kerajaan kolonial British secara nyata telah mengiktiraf kedudukan sah Raja-raja Melayu.
“Selain itu, pemerintahan British juga telah mengiktiraf kedudukan istimewa kaum Melayu sebagai penduduk asal (Bumiputera/Pribumi) serta melaksanakan sistem politik dan pemerintahan yang bertunjangkan kaum Melayu,” katanya.
Tambah Yong San, fakta tersebut adalah sesuatu yang pahit untuk kaum bukan Melayu termasuk beliau sendiri, namun perlu difahami, diiktiraf dan dihormati.
Peringatan itu dimuat naik Yong San menerusi status laman sosial Facebooknya baru-baru ini yang mengundang reaksi pelbagai daripada netizen dengan majoriti mereka memuji ketegasan beliau dalam isu berkenaan.
Bagaimanapun, usaha Utusan Malaysia mendapatkan penjelasan lanjut daripada beliau sendiri setakat ini tidak berjaya kerana beliau gagal dihubungi. – UTUSAN ONLINE










