SEREMBAN 30 Nov. – Seorang wanita dan empat anak lelakinya sempat menyelamatkan diri selepas rumah teres dua tingkat di Taman Desa Indah, Nilai dekat sini terbakar malam tadi.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Jamaludin Latif berkata, kebakaran pada pukul 11.15 malam itu memusnahkan ruang tamu yang menempatkan dua buah sofa, sebuah televisyen dan meja makan.
“Wanita itu, Norhanizah Ibrahim, 45, melecur kira-kira lima peratus di bahagian belakang badan dan muka. Ketika kejadian suaminya tiada di rumah.
“Mangsa melecur kerana bertindak nekad meredah ruang tamu yang terbakar. Empat anaknya berusia enam hingga 19 tahun turun melalui tingkap bilik atas menggunakan tangga yang diletakkan jiran mereka,” katanya di sini hari ini.
Jamaludin berkata, wanita itu menyedari kebakaran tersebut apabila terjaga daripada tidur selepas mendengar salakan anjing dan menghidu bau asap.
Menurutnya, seramai 15 pegawai dan anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai serta Mantin dikerahkan memberi bantuan selepas menerima panggilan pada pukul 11.23 malam.
Ujarnya, api terlebih dulu berjaya dikawal oleh jiran-jiran mangsa menggunakan air paip sebelum kebakaran dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba yang tiba pada pukul 11.35 malam. – UTUSAN ONLINE










