Horner pertahan sikap Verstappen - Utusan Malaysia

Horner pertahan sikap Verstappen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner tidak menganggap Max Verstappen sukar dikawal biarpun telah me­nerima hukuman menjalani khidmat awam selama dua hari kerana menolak pelumba Force India, Esteban Ocon pada Grand Prix (GP) Brazil di Litar Interlagos, Ahad lalu.

Horner mengakui memahami situasi pelumba Belanda yang sangat emosi ketika itu memandangkan kemenangannya dirampas disebabkan pemanduan Ocon tidak cermat pada saingan tersebut sehingga menyebabkan pelanggaran.

Insiden itu nyata sangat merugikan Verstappen yang sedang mendahului perlumbaan di depan juara dunia Formula Satu (F1) 2018, Le­wis Hamilton dalam beberapa pusingan, namun akhirnya terpaksa akur menamatkan saingan di tempat kedua.

Verstappen tidak dapat menahan perasaan marah apabila Ocon yang dikenakan penalti 10 saat di hentian pit atas kesilapannya itu memberi reaksi sinis apabila diajukan soalan mengenai insiden berkenaan.

Disebabkan itu, pelumba Red Bull tersebut bertindak menolak Ocon sebanyak tiga kali sebelum pergelutan mereka dileraikan.

“Saya tidak fikir Verstappen memiliki masalah untuk kekal profesional. Walaupun kesilapan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Verstappen kehilangan satu gelaran, namun Ocon juga harus bertanggungjawab dengan kelakuannya.

“Kami tidak menggalakkan sikap keganasan tapi saya faham emosi Verstappen. Dia bukan robot dan dia tidak perlu jadi robot.

“Kita perlu faham pelumba juga memiliki emosi ter­utama ketika keadaan tegang seperti itu,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN