MANUSIA bukan maksum, mereka akan melakukan kesalahan. Hanya batasan masa yang akan menentukan mereka berubah ke pangkal jalan apabila mendapat hidayah daripada Allah. Begitu yang dialami Norasid Md. Said, 44, yang pernah menerima kecaman dan cemuhan kerana menanggung virus HIV dalam tubuh akibat kekhilafan masa lalu pernah memikirkan masa hadapannya sangat gelap.
Namun, lelaki ini akhirnya reda menerima keadaan diri dan bertekad menjadikan pengalaman yang dilalui sebagai iktibar kepada orang lain.
Menjadi kawan pembimbing kepada rakan-rakan senasib memerlukan lelaki ini keluar ke pentas hadapan dan bersemuka dengan masyarakat yang perlu tahu kedudukan keadaan dirinya.
Biarpun pada mulanya menerima cemuhan dan penolakan akibat stigma masyarakat, namun, Norasid bersyukur kerana ahli keluarganya tetap menyokong, menyebabkan dia tidak terpesong daripada landasan agama dan terus dengan kehidupan.
Norasid tidak lari daripada fitrah dan sentiasa menunjukkan sisi diri terbaik kepada masyarakat agar mereka memahami virus yang dijangkiti tidak sesekali memudaratkan orang lain sekiranya tidak melakukan perbuatan yang berisiko.
Begitu dugaan Tuhan kepadanya dalam menempuh kehidupan, Norasid amat bersyukur apabila dianugerahkan seorang wanita yang sanggup berada di sisinya pada waktu senang mahupun susah.
Kepada wanita itu, Zubaidah Abdul Hamid, 45, dicurahkan rahsia hati dan berterus terang mengenai keadaan diri.
Siapa menyangka wanita itu menerima Norasid seadanya dan menganggap apa yang dihadapi cuma dugaan Tuhan.
Norasid dan Zubaidah akhirnya diijabkabulkan pada 2006, dan dikurniakan tiga cahaya mata, dua lelaki dan seorang perempuan berusia 10, sembilan dan tujuh tahun.
Ajaibnya, selepas penikahan itu, Zubaidah dan anak-anak yang dilahirkan tidak dijangkiti virus berkenaan dengan izin Tuhan. Keluarga ini kini hidup bahagia di Felda Palong, Negeri Sembilan, dengan mentua di kedua-dua belah pihak mengetahui mengenai status anak dan menantu mereka.
Anak-anak juga tidak berhadapan dengan masalah di sekolah apabila mereka mengajukan persoalan berkenaan HIV, Norasid akan memberikan jawapan agar anak-anak kecil ini dapat jawapan yang betul.
“Apa yang penting saya mahu buktikan kepada masyarakat khususnya golongan yang senasib dengan saya, mereka juga boleh mengecapi bahagia dan menolak stigma masyarakat yang selama ini memandang serong orang yang hidup dengan HIV.
“Lagi satu, penting untuk anda dapatkan rawatan awal sekiranya tahu dijangkiti virus itu agar ia boleh dikawal,” tegasnya.
Norasid kini merupakan seorang penceramah dan pengurus program pertukaran jarum dan alat suntikan di bawah Program Majlis AIDS Malaysia, dengan dana di bawah Kementerian Kesihatan.
Dia juga mengendalikan Kelab Sahabat Meta (Metadon) Tampin, Negeri Sembilan serta penceramah di Kem Islah iaitu kem yang dikhususkan untuk peserta-peserta HIV/AIDS dan komuniti LGBT yang mahu berhijrah.
Norasid juga menasihatkan rakan-rakan komuniti yang melakukan perbuatan berisiko seperti seks dan dadah agar kerap melakukan ujian saringan HIV untuk mengetahui sekiranya sudah dijangkiti.
Norasid boleh dihubungi melalui talian 012-7305817.
Kem Islah untuk yang ingin berubah
PENGERUSI Kem Islah Hanafiah Abdul Malek berkata, program “I am Islah” bermakna “saya sudah berubah, berhijrah” ini pertama kali dianjurkan di Tanjung Bidara Beach Resort dengan sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan telah disertai 30 peserta. Program I am Islah 2 akan dijangkakan mendapat sambutan peserta yang lebih ramai lagi.
Sebenarnya kata Hanafiah, program berdakwah bagi golongan LGBT dan HIV/AIDS telah berlaku sejak 19 tahun yang lalu.
Namun begitu, ia telah dijalankan secara serius dan tersusun di bawah Jakim pada 13 hingga 15 Mac 2010. Ketika itu, programnya berbentuk mukayyam yang bermaksud perkhemahan.
Kaedah pendekatannya menerusi berdakwah di ‘lorong-lorong’ atau dengan golongan LGBT dalam media sosial.
Pengisiannya bermodulkan Terapi Psikospiritual iaitu secara psikologi untuk membuka fikiran, menjawab semua konflik diri.
Kaedah spritual membantu merawat hati dan nafsu melalui zikir tertentu dan solat. Terapi yang kerap digunakan dalam kem ini ialah perkongsian.
Ini antara sebahagian modul yang telah berjaya membantu ramai LGBT dan orang yang hidup dengan HIV/AIDS kembali kepada fitrah atau paling tidak, berhati-hati dalam menjalin hubungan sejenis dan timbul kesedaran untuk berubah.
“Harapan saya untuk kesemua peserta boleh menjadi ejen dakwah kepada sahabat yang lain untuk bersama merasai bahawa Islam adalah agama kasih sayang dan Allah itu penerima taubat.
“Sekiranya anda ‘berislah’ kerana Allah, Allah akan hantar sahabat-sahabat yang baik untuk membantu.
“Anda tidak bersendirian. Alah sayangkan kalian semua,” katanya yang juga seorang pendakwah, perunding motivasi dan penceramah di televisyen dan radio itu.










