KUALA LUMPUR 27 Nov. – Tunang anggota bomba yang cedera parah diserang perusuh di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25 awal pagi tadi meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan berita tidak benar mengenai Muhammad Adib Mohd Kassim.
Dalam hantara di Facebook, Nurul Najihan berkata, Muhammad Adib masih lagi selamat dan memohon orang ramai agar terus berdoa untuk anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu.
“Tunang saya masih selamat. Tolong la hentikan yg bukan-bukan. Doakan dia Muhammad Adib,” tulis Nurul Najihan.
Tular di media sosial mendakwa Muhammad Adib yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) telah meninggal dunia.
Namun khabar angin itu disangkal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan sebentar tadi,
Nurul Najihan dan Muhammad Adib dijadual melangsungkan perkahwinan hujung bulan depan.
Media melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata Muhammad Adib kini bergantung kepada sistem sokongan hayat.
Menurutnya, keadaan Muhammad Adib sangat kritikal dan doktor memaklumkan terdapat banyak kesan lebam di dada akibat dipukul dengan objek tumpul.
Tulang rusuk Muhammad Adib juga patah sekali gus menyebabkan tercucuk pada paru-paru sehingga menyebabkan kesukaran bernafas dan paru-paru tidak dapat berfungsi dengan baik.
Dalam kejadian pukul 1 pagi tadi anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu diserang apabila pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.
Anggota yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS itu ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul. Akibat kejadian itu Muhammad Adib Mohd berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.-UTUSAN ONLINE










