ALOR SETAR 28 Nov. – Polis Kedah menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar berita palsu tentang insiden pergaduhan antara orang Melayu dan India di Gurun dan Kuala Ketil.
Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, berita palsu yang ditular pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial itu dikhuatiri mencetuskan ketegangan antara kaum.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan terdapat mesej daripada pihak tertentu yang menggesa orang ramai untuk menyimpan senjata sebagai persiapan melakukan rusuhan kaum.
“Adalah dimaklumkan, penyebaran gambar dan mesej yang boleh mewujudkan ketegangan kaum tidak benar sama sekali. Ingin ditegaskan, tiada sebarang kejadian pergaduhan antara kaum yang berlaku di daerah Kuala Muda.
“Keadaan di Gurun dan Kuala Muda adalah selamat, aman dan sejahtera. Penyebaran berita palsu ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sama sekali perbuatan menyebarkan berita atau maklumat palsu dalam media sosial kerana ia boleh mencetuskan sentimen perkauman, menggugat keselamatan serta keamanan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam di negeri ini.
“Mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.










