Harimau tak perlu gentar - Utusan Malaysia

Harimau tak perlu gentar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI 27 Nov. – Meskipun di atas kertas Thailand adalah pasukan pilihan untuk menewaskan Malaysia dalam separuh akhir Piala AFF 2018, namun bek kiri Harimau Malaya, Syazwan Andik Ishak menegaskan, faktor tersebut langsung tidak meresahkan dia dan rakan-rakan sepasukan.

Syazwan yang beraksi dalam semua empat perlawanan Kumpulan A berkata, kesemua pasukan yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir memiliki kekuatan tersendiri dan adalah yang terbaik di Asia Tenggara.

Pemain Kuala Lumpur itu juga berharap, pasukannya dapat menyerap sokongan padu lebih 80,000 penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini untuk mencari keputusan positif pada aksi pertama.

“Sudah semestinya perlawanan menentang Thailand lebih mencabar dan sengit, tambahan bermain di separuh akhir. Saya pasti semua pasukan ingin melangkah ke final dan akan bermain mati-matian.

“Bagi saya tiada perasaan takut atau gemuruh bertemu Thailand. Mungkin daripada segi serangan mereka cukup berbahaya namun kita juga mempunyai kekuatan tersendiri, selain bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong di laman sendiri.

“Jika terus diberi peluang oleh jurulatih (Tan Cheng Hoe) untuk turun beraksi, saya janji akan beri yang terbaik dan berusaha sedaya upaya menghalang gawang daripada dibolosi lawan dengan mudah,” katanya ketika sesi latihan di Padang A Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN