KUALA LUMPUR 15 Nov. – Hanya pengecut sahaja yang akan mengambil langkah meninggalkan perjuangan ketika parti memerlukan kekuatan untuk bangkit semula.
Demikian ujar Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob dalam menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mengumumkan dirinya keluar UMNO dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.
“Amat mendukacitakan melihat seorang tokoh yang diangkat UMNO, tiba-tiba meninggalkan perjuangan anak bangsa, seolah-olah mencemarkan ‘track record’ beliau yang baik di penghujung usia karier politik dan tergamak mengkhianati para pengundi yang menaruh harapan tinggi padanya,” kata Suraya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, semalam.
Suraya berkata, alasan bahawa ‘penghijrahan’ ini adalah atas dasar tidak senang dengan imej beberapa pemimpin UMNO lain, hanyalah satu alasan yang lemah.
“Jadi, mengapa pula tidak meletak jawatan ketika UMNO berkuasa? Mengapa pula memilih meninggalkan UMNO hanya setelah parti ini tewas dan berstatus pembangkang?
“Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dituduh dengan pelbagai tohmahan, mengapa tidak dilepaskan saja jawatan Exco Kerajaan Negeri?” soal Suraya. – UTUSAN ONLINE
KENYATAAN PENUH
Ketua UMNO Bahagian Pendang
Ketika mana UMNO sedang menghadapi musibah serta memerlukan kekuatan untuk bangkit semula memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara, hanya pemimpin yang pengecut sahaja yang akan berpaling meninggalkan medan juang.
HANYA PENGECUT YANG LARI TINGGALKAN MEDAN PERJUANGAN…
1. Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak, Dato’ Sr Ku Abdul Rahman Ku Ismail untuk meninggalkan UMNO dan bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan PH Kedah amat mengecewakan Kak Su.
2. Amat mendukacitakan melihat seorang tokoh yang diangkat UMNO, tiba-tiba meninggalkan perjuangan anak bangsa, seolah-olah mencemarkan ‘track record’ beliau yang baik di penghujung usia karier politik dan tergamak mengkhianati para pengundi yang menaruh harapan tinggi padanya.
3. Beliau memberi alasan ‘berhijrah’ di atas nama Islam, kononnya tidak senang dengan beberapa imej pemimpin yang mencemarkan nama baik UMNO hanyalah satu alasan lemah untuk meninggalkan UMNO dan bersekongkol dengan parti chauvinis ultra kiasu serta pihak yang mengkhianati perjuangan parti.
4. Sejarahnya, bukan hanya sekarang pemimpin UMNO telah dituduh dengan pelbagai tohmahan dan pembohongan, malah sejak dari zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi pemimpin UMNO dan BN telah pun dituduh dengan bermacam-macam tuduhan negatif.
5. Jadi, mengapa pula tidak meletak jawatan ketika UMNO berkuasa? Mengapa pula memilih meninggalkan UMNO hanya setelah parti ini tewas dan berstatus pembangkang? Ketika Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dituduh dengan pelbagai tohmahan, mengapa tidak dilepaskan saja jawatan Exco Kerajaan Negeri?
6. Sememangnya Islam itu menganjurkan umatnya untuk berhijrah daripada kemungkaran ke arah suatu yang lebih baik. Namun Kak Su yakin bahawa Islam menolak umatnya berhijrah untuk bersekutu dengan mereka yang mengenepikan syiar Islam dan kepentingan anak bangsa sendiri, bukan?
7. Kak Su bersetuju dengan kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, saudara Sanusi Mohamad Nor yang menyifatkan tindakan Adun Guar Chempedak itu sebagai pengecut yang seolah-olah mencari jalan keluar dari medan perjuangan.
8. Ketika mana UMNO sedang menghadapi musibah serta memerlukan kekuatan untuk bangkit semula memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara, hanya pemimpin yang pengecut sahaja yang akan berpaling meninggalkan medan juang.
9. Kesal bukan kepalang dengan tindakan Guar Chempedak, namun Sungai Tiang dan Bandar Baharu tidak akan sesekali lari daripada perjuangan. Biar sesukar manapun, di atas prinsip kepartian, kami berdiri teguh setia kepada UMNO bersama amanah rakyat yang digalas.
10. UMNO pasti bangkit. Perjuangan parti keramat bangsa ini akan tetap kami teruskan walau terpaksa menongkah arus deras yang membadai. Kami tetap setia bersama UMNO yang kini semakin gagah membelah arus, demi Islam, Melayu dan Tanah Melayu!
UMNO itu sebuah perjuangan…
Kak Su (Datuk Suraya Yaacob)
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah
Ketua UMNO Bahagian Pendang
Adun Sungai Tiang










