KUALA LUMPUR – Aktres Dalimawati tetap setia dengan jenama Hantu Kak Limah apabila menerima tawaran untuk membintangi Teater Muzikal Hantu Kak Limah yang akan dipentaskan di Filem Animasi Park Studios (MAPS) di Perak pada 24 Disember sehingga 31 Disember ini.
Terdahulu, pelakon yang terkenal dengan watak Kak Limah itu meluahkan rasa tidak puas hati kerana menerima bayaran bonus yang sedikit meskipun filem karya sutradara Mamat Khalid itu mendapat kutipan RM38 juta selepas ditayangkan di pawagam.
“Saya menerima tawaran untuk berlakon teater muzikal ini kerana ia diterbitkan oleh produksi berbeza dan bayaran yang diberikan juga setimpal.
“Namun, apa yang menariknya, selain merupakan pementasan teater pertama saya sepanjang 30 tahun bergelar pelakon ia juga akan dipentaskan di negeri Perak, tempat asal saya,” ujar Dalimawati ketika ditemui pada sidang akhbar pementasan teater berkenaan sebentar tadi.
Sementara itu, Mamat Khalid yang merupakan pengarah Teater Muzikal Hantu Kak Limah mendedahkan hampir separuh pelakon asal filem tersebut akan terlibat dalam teater berkenaan.
“Persiapan teater sedang giat dijalankan. Separuh daripada barisan pelakon asal akan terlibat dalam teater muzikal ini.
“Apa yang boleh saya janjikan adalah hiburan yang berbaloi buat seisi keluarga sempena musim cuti persekolahan,” katanya. – K! ONLINE











