Hak Perlembagaan sama ada nak kenduri pisang atau berhimpun - Utusan Malaysia

Hak Perlembagaan sama ada nak kenduri pisang atau berhimpun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sama ada mahu berkumpul untuk kenduri pisang atau berhimpun di tengah ibu negara, Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10 (1) (b) telah memberi hak tersebut kepada rakyat Malaysia.

Dengan syarat, selagi mana perhimpunan dianjurkan secara aman dan tanpa melibatkan senjata. Jaminan hak ini juga selari dengan norma antarabangsa yang dapat dilihat dalam pelbagai ins­trumen perundangan.

Malah di Amerika Syarikat (AS), hak berhimpun dimasukkan dalam Perlembagaan negara itu menerusi First Amendment iaitu pada tahun 1791 bersekali kebebasan akhbar, bersuara dan agama.

Begitulah tingginya kedudukan hak kebebasan berhimpun dan ini juga dimasukkan dalam pelbagai instrumen perundangan antarabangsa dan antara termasyhur adalah Deklarasi Universal Mengenai Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil (ICCPR) yang diperjuangkan banyak pihak dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga salah satunya mengandungi peruntukan kebebasan berhimpun.

Justeru, canggunglah andai di bawah era Malaysia baharu masih lagi memberikan alasan sama seperti sebelum ini kepada pihak yang mahu menganjurkan perhimpunan seperti himpunan ‘kesyukuran’ apabila kerajaan tidak lagi meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) 8 Disember ini.

Tanpa menidakkan Perkara 10 (2) Perlembagaan yang pada masa sama membenarkan kawalan kepada kebebasan tersebut, tetapi biarlah 1,001 alasan kerajaan yang dulu untuk tidak membenarkan siri perhimpunan Bersih masuk dalam buku sejarah sahaja.

Macam tidak kena apabila mulut bercakap mengenai keperluan kerajaan menerima ICCPR dan konvensyen hak asasi PBB yang lain tetapi pada masa sama mahu menyanggah hak warganegara untuk berhimpun secara aman.

Apa pun, pihak berkuasa cubalah akomodasi dengan penganjur perhimpunan 8 Disember ini mengenai syarat-syaratnya supaya perhimpunan tetap berjalan dan soal keselamatan tidak dikompromi. Barulah Malaysia Baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN