KUALA TERENGGANU 26 Nov. – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini berdepan kesukaran dalam menangani masalah haiwan ternakan yang dibiar berkeliaran di tempat-tempat awam dan di jalan raya yang menimbulkan keadaan tidak menyenangkan dan mengancam keselamatan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, walaupun pelbagai langkah kesedaran dan pengkuatkuasaan termasuk denda serta kompaun dikenakan, namun tidak menampakkan kesan, malah keadaan itu berterusan.
“Meskipun terdapat banyak padang ragut turut disediakan namun sebahagian besarnya tidak dimanfaatkan oleh penternak,” ujarnya dalam sidang akhbar ketika sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Ir. Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) mengenai masalah itu, Dr. Alias memberi jaminan kerajaan menerusi PBT akan terus menggerakkan operasi menangkap haiwan-haiwan berkeliaran di kawasan masing-masing.
Beliau menarik perhatian, dari Januari hingga November tahun ini, sebanyak 264 ekor haiwan peliharaan (lembu, kambing, kerbau dan biri-biri) yang dibiar berkeliaran di beberapa daerah di negeri ini ditangkap oleh pihak penguatkuasa PBT masing-masing.
PBT telah mengeluarkan kompaun serta denda ke atas pemilik ternakan itu dan mereka diberi notis menjelaskan denda itu dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari dan sekiranya gagal, haiwan akan dilelong.
“Namun kita juga serba salah untuk ambil tindakan sebab mereka ini rata-rata orang susah dan pada mereka, denda sekitar RM100 (kambing) atau RM250 (lembu) terlalu besar bagi mereka.
“Jadi, mereka tidak juga tebus haiwan milik mereka sehingga terpaksa kita lelong,” katanya. – UTUSAN ONLINE










