Guru jadi mangsa Macau Scam rugi RM20,000 - Utusan Malaysia

Guru jadi mangsa Macau Scam rugi RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU – Meskipun sudah banyak disiarkan di akhbar dan peringatan berterusan pihak polis, masih ada yang menjadi mangsa penipuan Macau atau “Macau Scam”.

Kes terbaharu melibatkan seorang guru wanita  berusia 49 tahun yang kerugian RM20,000 selepas ditipu penjenayah tersebut pada Khamis lalu.

Mangsa dalam laporannya kepada pihak polis di sini semalam berkata, beliau telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai seorang peguam dari Mahkamah Pulau Pinang yang menyatakan beliau mempunai tunggakan GST sebanyak RM98,000.

Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan polis dari bahagian aduan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Mangsa memberitahu ‘polis’ tersebut beliau tidak memiliki sebarang syarikat mahupun mempunyai tunggakan GST.

“Suspek meminta nombor kad pengenalan mangsa untuk membuat semakan dan apabila semakan dibuat suspek memberitahu nama mangsa telah disenaraikan salah seorang daripada 200 orang yang disyaki terlibat dengan kes jualan dadah dan juga kes judi.

“Suspek memberitahu perlu meminta pegawai atasannya untuk membuat semakan lebih lanjut  tetapi mangsa perlu membayar RM20,000 untuk bayaran semakan kes jenayah tersebut,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Dennis, mangsa telah memberikan nombor akaun dan nombor kata laluan kad banknya kepada suspek kerana tidak dapat keluar untuk membuat pembayaran wang tersebut.

Pada hari yang sama katanya, mangsa mendapati wang di dalam akaun miliknya telah berkurangan sebanyak RM20,000 dipercayai dipindahkan ke akaun lain.

Mangsa turut menerima beberapa mesej daripada suspek berupa notis waran tangkap daripada Mahkamah Pulau Pinang dan juga dari Jabatan Audit Putrajaya dan hanya setelah meneliti mesej mangsa sedar dirinya ditipu. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN