KUALA LUMPUR 29 Nov. – Krisis pentadbiran Perak memasuki ‘episod’ baharu hari ini apabila Pakatan Harapan (PH) Perak memutuskan untuk membuat laporan polis berhubung gerakan pihak tertentu yang didakwa mahu menggulingkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Laporan polis yang dilakukan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu adalah untuk meminta pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh supaya kerajaan yang dipilih rakyat tidak lagi goyah dan dapat berfungsi dengan sempurna demi kebaikan seluruh rakyat Perak.

Menurut Ketua Sekretariat PH Perak, V. Sivakumar, sekiranya tindakan beberapa exco kerajaan negeri mahu menjatuhkan Menteri Besar benar, maka perkara itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi.
Malah kata Sivakumar, gerakan licik itu juga telah melanggar kesalahan di bawah Seksyen 124 (C) Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan kegiatan yang boleh menggugat demokrasi berparlimen.
“Laporan ini dibuat supaya perkara ini disiasat secara menyeluruh dan tindakan diambil untuk memastikan mana-mana usaha jahat menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat tidak berulang lagi di Perak.
“Kita tak mahu isu ini berpanjangan kerana kalau tiada tindakan diambil, isu ini akan terus berpanjangan dan mengelirukan seluruh rakyat Perak. Saya harap polis mengambil tindakan secepat mungkin dengan menyiasat semua pihak terlibat dalam isu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Semalam, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengesahkan wujudnya gerakan menyingkirkan Ahmad Faizal menerusi undi tidak percaya.
Konflik pentadbiran Perak bermula apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa wujudnya gerakan serius untuk menjatuhkan Ahmad Faizal oleh beberapa orang exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya di DUN.
Malah, Saarani mendakwa rancangan tersebut hendak dilaksanakan oleh beberapa exco berkenaan dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya lima ADUN Barisan Nasional (BN) untuk menyokong usul tidak percaya tersebut. – UTUSAN ONLINE









