IPOH 28 Nov. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menganggap gerakan menjatuhkannya yang didakwa digerakkan oleh Exco kerajaan negeri, hanya merupakan desas-desus serta bukan suatu perkara konkrit dan benar-benar akan berlaku.
Ahmad Faizal yang tidak menafikan dakwaan itu berkata, walaupun perkara berkenaan benar sekali pun, ia boleh dihentikan kerana menganggapnya sebagai tidak penting.
Beliau mengakui hubungannya bersama 10 Exco kerajaan negeri baik, ibarat satu keluarga besar yang bahagia dan fokus mereka adalah membangunkan negeri serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Selagi perkara itu tidak berlaku, saya fikir, tidak perlulah saya komen. Cerita kononnya ada rundingan, perjumpaan dan sebagainya, bermakna segala perjumpaan itu tidak menjadi. Jadi, kenapa perlu komen untuk sesuatu yang perkara yang tidak menjadi.
“Saya tidak boleh melihat siapa (Exco yang dikatakan ingin menggulingkannya) kerana kami merupakan satu keluarga besar yang bahagia. Kami kukuh sebagai kerajaan, kalau pun dalam hati tidak bersetuju dengan saya tetapi itu tidak ditonjolkan menerusi bentuk tindakan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat, jadi saya tidak kisah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di luar Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau juga berpuas hati dengan komitmen serta kerjasama kesemua Exco kerajaan negeri, malah sentiasa membenarkan mereka mengutarakan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan yang menepati kehendak rakyat.
Malahan katanya, pihaknya juga tidak pernah meninggalkan penganjuran mesyuarat Exco kerajaan negeri seperti didakwa sesetengah pihak melainkan sewaktu cuti hari raya.
“Setiap rakyat berhak membuat laporan polis (berhubung dakwaan gerakan menggulingkan Menteri Besar) dan pihak polis juga wajib menyiasat jika ada laporan, jadi saya serahkan pada mereka, terpulang kepada pihak masing-masing.
“Bukanlah bila ada (dakwaan) usaha untuk menggulingkan saya, tiba-tiba mereka (Exco) tidak datang mesyuarat, saya tidak melihat perkara itu. Namun, kalau saya nampak perkara itu, saya perlu ambil tindakan yang boleh memperkukuhkan kerajaan,” katanya.










