BIARPUN sebelum ini pernah digelar tidak waras ketika kali pertama menyertai Ironman Langkawi 2010, namun ia tidak mematahkan semangat atlet Perancis, Romain Guillaume untuk datang lebih awal ke venue kejohanan, sekali gus berjaya melakar kejutan meraih kejuaraan sulungnya tahun lalu.
Kerja keras atlet berusia 33 tahun yang melakukan latihan tiga minggu lebih awal tahun lalu di Pulau Langkawi membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan saingan kategori profesional lelaki dengan merekodkan masa 8 jam 32 minit 53 saat (s) pada 2017.
“Saya banyak belajar daripada pengalaman tahun-tahun sebelum ini apabila mengambil inisiatif untuk datang lebih awal di Langkawi bagi menyesuaikan diri dengan venue kejohanan.
“Situasi ini memberikan kelebihan buat saya untuk berlatih dengan baik di venue sebenar supaya ia tidak memberikan masalah kepada saya ketika berdepan kejohanan sebenar,” katanya.
Hasil kemenangan pada Ironman Langkawi yang diraih tahun lalu, Guillaume berjaya merampas gelaran daripada juara bertahan Fredrik Croneborg dari Sweden, sekali gus mengatasi rekod terpantas yang dicatatnya tahun 2016 iaitu (8:39:12s).
Dalam pada itu, bagi kategori profesional wanita, Mareen Hufe mempunyai semangat berbeza apabila atlet kelahiran Jerman itu bakal menggunakan basikal baharu bagi edisi kali ini.
“Dua kali saya pernah beraksi di Langkawi dan mendapat tempat kedua. Pastinya saya teruja untuk datang melakukan kejutan pada tahun ini.
“Saya mahu pulang dengan kemenangan dan percaya penggunaan basikal baharu mampu membantu saya mencatatkan keputusan positif.
“Saya mahu menunjukkan peningkatan catatan masa dalam disiplin berbasikal dan yakin dapat melakukannya dengan baik selepas sudah serasi dengan basikal baharu ketika menjalani beberapa sesi latihan,” ujarnya.
Tahun lalu Hufe merangkul tempat kedua dengan catatan masa 9:27:22s dan membawa pulang wang tunai AS$2,750 (RM11,512) apabila ketinggalan di belakang juara bertahan selama empat tahun berturut-turut di Langkawi, Diana Riesler.











