KUALA LUMPUR 15 Nov. – Apa sudah jadi?
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi reaksi seolah-olah ‘kecil hati’ apabila kononnya media tidak melaporkan kenyataan beliau.
Situasi berlaku di lobi Parlimen, ketika Guan Eng keluar dari Dewan Rakyat, para pengamal media pun berpusu-pusu mengejar menteri kanan itu.
Soalan yang ingin diajukan ialah berkisar kepada cadangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang supaya kenderaan dari luar yang memasuki negeri itu dikenakan caj.
Alasannya ialah untuk mengurangkan jumlah kenderaan memasuki negeri tersebut yang kini berdepan dengan masalah kesesakan trafik.
Dengan status Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau merupakan individu sesuai untuk mengulas.
Bagaimanapun, Guan Eng memberitahu tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.
Beliau malah berjalan ketika sedang dikerumuni para wartawan dan mengelak untuk menjawab pertanyaan lain daripada media.
“Yang lain-lain punya (soalan) boleh ulangi jawapan saya semalam dulu. Kalau tidak, saya cakap di sini, tidak keluar tidak bermakna,” kata beliau.
Situasi ini menimbulkan kebingunggan dalam kalangan wartawan dengan masing-masing bertanya sesama sendiri: “Beliau merajuk ke?” – UTUSAN ONLINE










