Graduan USIM diasihat elak gejala negatif - Utusan Malaysia

Graduan USIM diasihat elak gejala negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 27 Nov. – Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diingatkan supaya tidak mudah terikut-ikut dengan gejala negatif apabila memasuki alam pekerjaan.

Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bertitah, dengan didikan yang diterima di universiti itu mereka seharusnya berupaya mengharungi pelbagai cabaran selepas menamatkan pengajian.

“Beta yakin graduan USIM adalah golongan yang luhur akhlaknya, berdaya intelek tinggi dan kental jiwa dalam mengharungi sebarang bentuk anasir yang mampu merapuhkan jati diri.

“Mereka perlu menjadi ejen keadilan dan keamanan dan sentiasa memperjuangkannya dalam menjalani kehidupan. Amalan integrasi ilmu naqli dan aqli yang telah diterapkan USIM akan membantu memikul amanah ini,” titahnya semasa merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-16 USIM di sini hari ini.

Yang turut hadir Pro-Canselor USIM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Seramai 246 graduan menerima ijazah sarjana muda, manakala seramai 235 graduan lagi menerima ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah pada majlis konvokesyen berkenaan.

Tuanku Aishah Rohani bertitah, pembentukan pelajar dari sudut modal insan memerlukan penerapan konsep pembangunan lestari iaitu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga sahsiah dan akhlak.

“Ini kerana kelulusan dalam peperiksaan bukanlah satu-satunya nilai yang mencerminkan kejayaan dan kecemerlangan seseorang graduan. Para graduan juga akan dinilai dari segi sifat-sifat murni seperti bertanggungjawab, hormat-menghormati, bersopan santun dan berdisiplin tinggi,” titahnya.-UTUSAN ONLINE

Dalam majlis itu, Tuanku Aishah Rohani turut berkenan menyempurnakan pemasyhuran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi sebagai Pro-Canselor USIM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN