JOHOR BAHRU 28 Nov. – Semua lapisan masyarakat diminta terus memberi sokongan kepada orang kurang upaya (OKU), sekali gus sentiasa prihatin dan membantu golongan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, masyarakat juga mestilah mempunyai rasa kasih, sayang, bertanggungjawab dan perasaan mengambil berat dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan golongan itu diberi keutamaan.
“Masyarakat perlu terus mengekalkan budaya saling menghormati dan hidup harmoni tanpa mengira umur, latar belakang dan warna kulit.
“Kesedaran masyarakat juga mengenai hak dan keperluan hidup khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak perlu dipupuk,” katanya semasa mewakili Menteri Besar, Datuk Osman Sapian merasmikan Sambutan Hari Kanak-kanak, OKU, Warga Emas dan Sukarelawan, di sini baru-baru ini.
Pada majlis itu, sebanyak 25 anugerah diberikan melibatkan empat kategori iaitu kanak-kanak, OKU, warga emas dan sukarelawan.
Beliau berkata, majlis tersebut juga merupakan salah satu daripada bukti kerajaan sentiasa menghargai sumbangan golongan berkenaan.
Menurutnya, kerajaan juga akan sentiasa menambah baik pelbagai kemudahan bagi golongan tersebut dari semasa ke semasa.










