KUALA LUMPUR 10 Nov. – Kekurangan diri bukan halangan untuk graduan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azzrulkhan Hasrullah Matsah, 25, aktif dalam aktiviti mendaki gunung dan kawasan tanah tinggi.
Walaupun berstatus orang kelainan upaya (OKU) kerana penyakit polio, beliau sudah mendaki lebih daripada 30 bukit dan gunung di negara ini termasuk tiba di kem induk Everest pada Mei lalu sekali gus tersenarai dalam Malaysia Book Of Records.
Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Adam hanya menggunakan kudrat kedua-dua tangan sambil merangkak untuk sampai ke destinasi berkenaan.
“Kita perlu menggunakan apa yang diberikan oleh tuhan sebaik mungkin termasuklah masa kita, tenaga kita dalam mencapai sesuatu untuk beri diri kita bangga ataupun keluarga dan negara bangga.
“Saya sebagai OKU mahu beritahu masyarakat bahawa dalam kejayaan tidak wujud diskriminasi, kita harus memberi peluang kepada semua golongan terutama OKU supaya mereka ditonjolkan lebih-lebih lagi dalam aspek akademik dan sukan bukan sekadar di universiti malah peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen UIAM Ke-34 di sini, hari ini.
Dalam majlis konvokesyen berkenaan, Azzrulkhan menerima Anugerah Khas Pencapaian Luar Biasa Ko-Kurikulum atas kejayaan hebat beliau mendaki Everest.
Azzrulkhan berharap, apa yang beliau capai mampu menjadi motivasi kepada pihak lain yang senasib dengannya untuk tidak mudah berputus asa dan teruskan mengejar impian walaupun dalam keadaan sukar.










